Jumaat, 28 Disember 2012

IMAM AHMAD bin HANBAL



Nama sebenarnya Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al- Marwazi al- Baghdadi. Beliau lebih dikenali dengan nama Imam Hambali. Nazar bin Maad bin Adnan merupakan orang yang menemukan Imam Hanbali dan Rasulullah dalam nasab keturunan mereka.

   Imam Hanbali dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiulawal tahun 164H/780M, ketika zaman pemerintahan Bani Abbasiah di bawah pimpinan Khalifah Muhammad al-Mahdi. Ibunya bernama Sufiah atau Safiah Maimunah binti Abdul Malik as-Syaibani. Imam Hanbali juga dipanggil Abu Abdullah kerana anak sulungnya bernama Abdullah.

  Sejak kecil Imam Hanbali sangat suka menuntut ilmu. Beliau menghafal al-Quran ketika berumur 14 tahun dan mempelajari ilmu hadis dan fikah. Beliau terus menuntut ilmu sehingga berusia 40 tahun.


  Ketika berusia 16 tahun beliau sudah merantau ke Kufah, Basrah, Syam, Yaman dan tempat-tempat lain untuk menambah ilmu. Ketekunannya menuntut ilmu menjadikan Imam Hanbali rela tidak berkahwin pada usia muda.

  Dia berkahwin setelah berumur 40 tahun. Wanita pertama dinikahinya bernama Aisyah binti Fadl dan dikurnikan seorang putera bernama Saleh.

  Setelah Aisyah meninggal, dia berkahwin dengan Raihanah dan dikurniakan seorang lagi putera bernama Abdullah. Setelah Raihanah meninggal dunia, beliau berkahwin dengan seorang jariyah bernama Husinah dan dikurniakan lima orang anak iaitu Zainab, Hasan, Husain,Muhammad, dan Said.


  Imam Hanbali digelar al-Hakam kerana dapat menghafal lebih 700,000 hadis dan berpengetahuan mendalam mengenai ilmu hadis yang melayakkan beliau mengeluarkan fatwa dalam hukam fikah.

   Imam Hanbali juga seorang yang sangat kuat beribadat. Belau menunaikan sembahyang sunat 300 rakaat dalam sehari semalam dan mengkhatam al-Quran seminggu sekali.

Rabu, 26 Disember 2012

IMAM SYAFIE



  Nama sebenarnya ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Syafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy daripada Bani Mutalib. Ayahnya telah meninggal dunia ketika Imam Syafie masih kanak- kanak. Ada pendapat lain mengatakan bapanya meninggal ketika beliau masih dalam kandungan ibu.

  Beliau dilahirkan di kota Gaza Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu ialah khalifah Abu Jaafar al  Mansur daripada Bani Abbasiah.

  Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan, sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari al- Quran, beliau telah menghafaz al-Quran sejak berusia 9 tahun. Semasa berusia 10 tahun beliau telah menghafal dan memahami kitab al-Muwattak yang ditulis Imam Malik, mempunyai suara merdu , boleh bersyair dan bersajak.

  Ketika berusia 15 tahun beliau telah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjidil al- Haram, kerana kegigihan dan kecerdikan  beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat. Beliau meninggal di Mesir tahun 204 hijrah ketika berumur 54 tahun.

  Imam Syafie sangat menentang amalan bidaah. Katanya lagi, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan unnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang sesat. Dan perkara kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun daripada semuanya itu adalah bidaah terpuji.

  Imam Syafie juga melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri atau kepada sesiapa sahaja. Semasa hidup, beliau selalu menasihati orang ramai terutama anak muridnya tentang taklid.



  Pesan Imam Syafie, "Tiap- tiap perkara yang telah saya katakan padahal sabda Rasulullah s.a.w bertentangan dengan perkataan saya maka sabda Rasulullah s.a.w itulah yang lebih utama dituruti."


 

IMAM MALIK

       Imam Malik atau nama sebenarnya Abu Abdullah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amr bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi.Beliau Lahir di Madinah pada tahun 95 H/ 712 M dan wafat tahun 179 H/ 796 M ketika berumur 84 tahun dan dikebumikan di perkuburan Baqik. Beliau mempunyai seorang isteri dan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuannya bernama Fatimah. Manakala anak- anak lelakinya bernama Muhamad, Hammad dan Yahya.

 Keluarga atau keturunannya berasal dari Yaman. Moyangnya berpindah ke Madinah dan menganut Islam pada zaman Rasulullah. Imam Malik adalah pengasas Mazhab Maliki.

  Imam Malik dikurniakan umur yang panjang. Beliau hidup pada zaman sembilan orang khalifah bani Umaiyah dan lima orang bani Abbasiah. Bermula dari khalifah al-Walid bin Abdul Malik (95 Hijrah) sampai ke zaman khalifah Harun al- Rasyid(179 Hijrah).

  Beliau meninggal dunia pada hari Ahad, 14 Rabiul Awal tahun 179 hijarah ketika  berusia 84 tahun.Imam Malik seorang pakar dalam bidang ilmu hadis. Beliau berhati-hati dalam menyelidik sanad dan perawi (periwayat) hadis bagi memastikan kesahihannya. Kerana kemasyuran Imam Malik dalam bidang ilmu hadis, ramai ulama dari luar Madinah datang bagi mendapatkan ilmu daripada beliau.

    Imam Malik menghabiskan umurnya selama 40 tahun bagi menghimpunkan dan menapis hadis- hadis yang diterima daripada gurunya. Beliau menghafaz sebanyak 100 ribu buah hadis. Walau bagaimanapun  tidak semua hadis- hadis itu diterima  bagi dijadikan sumber hukum. Selepas ditapis hanya 10 ribu hadis yang diakui sah. Daripada 10 ribu buah hadis yang disiasat dan dipadankan dengan Quran, akhirnya hanya lima ribu buah hadis yang benar- benar diterima sebagai hadis Rasulullah yang sah. Hadis- hadis itu disusun dalam sebuah kitab yang diberi nama al- Muwattak.

  Imam Malik juga berhati- hati dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Sebelum setiap hukum dikeluarkan,  terlebih dahulu beliau merujuk kepada Quran dan hadis. Sekiranya tidak terdapat di dalam kedua- dua sumber itu, barulah beliau merujuk  kepada ijmak ulama dan qias.

  Peninggalan Imam Malik yang terbesar adalah kitab Al- Muwattak yang menjadi bahan rujukan kepada seluruh umat Islam hingga sekarang. Mazhab Maliki berkembang di Morocco, Algeria, Libya dan Palestin.

Ahad, 23 Disember 2012

IMAM HANAFI

Selepas tumbangnya kerajaan Bani Umaiyah pada tahun 132 hijrah 1749 Masihi muncul pula kerajaan Bani Abbasiyah. Timbul pertelingkahan pendapat antara orang Alawayyin (keluarga Saidina Ali) dengan Abbasiyah (keluarga Abbas bin Abdul Mutalib) dan Syiah dengan Khawarij. Kemudian muncul pula fahaman Muktazilah, Jabariyah, Qadariyah, Ahli Sunnah Waljamaah dan sebagainya. pada ketika itulah munnculnya empat orang imam besar iaitu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi),Imam Malik bin Anas(Imam Maliki),Imam Muhammad  Idris (Imam Syafie) dan Imam Ahmad bin Muhammad(Hanbal).

      Imam Abu Hanifah dilahirkan lebih dahulu daripadaimam- imam yang lain. Nama sebenarnya An-Nukman bin Thabit lahir pada tahun 80 hijrah atau 699 Masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah kufah Baghdad. Mendapat gelaran Abu Hanifah kerana beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja dia pergi  lalu digelar Hanifah beerti dakwat dalam bahasa Parsi.

      Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fikah dan tauhid. Beliau belajar lebih daripada 200 orang ulama yang terbilang pada masa itu, antaranya Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Masud.

       Imam Abu Hanifah dikurniakan umur yang panjang. Beliau sempat hidup di bawah pemerintahan kerajaan khalifah Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

       Imam Abu Hanifah pernah berkata"Sekiranya aku tidak mempunyai keluarga, aku pasti tidak menyimpan duit walau satu dirham."

       Imam Abu Hanifah meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 150 hijrah ketika  berumur 70 tahun. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan  al- Khaizaran yang terletak di Timur Kota Baghdad.

        Semasa hidupnya, Imam Abu Hanifah tidak sempat menyusun kitabnya. Namun, beliau mempunyai anak murid yang ramai. Mereka yang menulis dan menyusun kitab berdasarkan pendapat yang dicurahkan guru mereka.







Sebab Timbulnya Mazhab


Pada masa Nabi Muhammad s.a.w hidup tidak timbul perselisihan pendapat di kalangan umat Islam kerana boleh merujuk terus kepada baginda. Tetapi setelah baginda wafat pada 2 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah atau 8 jun 632 M, maka wujud perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Akibat perbezaan pendapat itu maka tercetus perang Jamal dan perang Siffin yang mengorbankan ramai umat Islam. Ekoran itu wujud kaum Syiah dan Khawarij. Kemudian muncul pula fahaman Muktazilah yang diketuai Washil bin Athak dan Umar bin Ubeid. Kemudian muncul pula fahaman Qadariyah dan Jabariah.

Akhirnya muncul pula fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang diketuai Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh
Abu Mansuur al Maturidi . Di bawah ini dinyatakan perbezaan fahaman- fahaman tersebut:

1.Kaum Syiah ,kaum yang berlebih- lebihan memuja Saidina Ali bin Abi Talib. Malah dikatakan mereka tidak mengakui Khalifah Abu Bakar as Siddiq , Umar al Khattab dan Uthman Affan. Namun fahaman Syiah juga berpecah kepada 22 aliran.

2.Kaum Khawarij, kaum yang sangat membenci Saidina Ali bin Abi Talib malah ada mengkafirkannya. Merka sanggup membunuh Saidina Ali bin Abi Talib dan keluarganya . Mereka tidak sependapat dan berpecah kepada 20 aliran.

3.Kaum Khawarij, kaum yang sangat bersefahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat. Kerana itu manusia berkuasa ke atas diri sendiri . Baik dan buruk bergantung kepada pilihan sendiri . Mereka berpendapat manusia tidak boleh melihat tuhan walau di dalam syurga . Mereka berpendapat syurga dan neraka berserta penghuninya tidak kekal. Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w berlaku dengan roh sahaja. Fahaman Muktazilah juga berpecah kepada 20 aliran.

4.Kaum Murjiah, mereka berpendapat sesiapa yang sudah Islam dan beriman jika melakukan maksiat tetap masuk syurga seperti orang kafir yang membuat kebajikan tetap masuk neraka.

5.Kaum Najariyah , mereka berpendapat manusia melakukan sesuatu perbuatan sudah ditentukan tuhan. Mereka juga mengatakan sifat tuhan tidak ada.

6.Kaum Jabariyah, mereka berpendapat untung nasib setiap manusia manusia sudah ditentukan  sejak azali lagi. Manusia tidak mempunyai daya dan upaya untuk mengubahnya. Contoh, seseorang itu sudah ditetukan tempatnya di syurga ataupun neraka .

7.Kaum Musyabbihah, mereka berpendapat tuhan juga bersifat seperti manusia,ada tangan,mata ,kaki, duduk di atas kerusi san sering turun naik antara langit dan bumi.

Sabtu, 22 Disember 2012

Mazhab yang empat



  Empat imam basar iaitu IMAM AHMAD bin MUHAMAD bin HANBAL (Mazhab Hambali), IMAM MUHAMAD bin IDRIS atau Imam Syafie (Mazhab Syafie), IMAM ABU HANIFAH (Mazhab Hanafi) dan Imam Malik (Mazhab Maliki) harus diketahui riwayat hidupnya oleh umat Islam ,terutama Ahli Sunnah Waljamaah.

Empat Imam Besar itu menjadi terkemuka kerana mereka ulama bebas yang tidak terikat dengan sesiapa dan tidak pula berasa terhutang budi kepada sesiapa (pemerintah).
Perbezaan pendapat dikalangan mereka hanya berkisar dalam masalah  furu' atau cabang hukum agama yang berhubung dengan urusan muamalat atau yang berkait dengan kepentingan masyarakat. Keempat mazhab tidak berselisih dalam urusan pokok agama kerana mereka tetap berpegang kepada al Quran ,hadis ,dan sunnah rasul-Nya.

Keempat imam besar ini sama-sama menentang amalan bidaah atau yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Mereka juga tidak memaksa pengikutnya supaya bertaklid kepada mazhab masing-masing tanpa menyelidik nas yang diambil  bagi merumuskan masalah atau fatwa.

Imam Syafie contohnya menasihati pengikutnya supaya tidak teragak-agak menolak pendapatnya jika ada nas daripada al Quran atau hadis yang sahih berlawanan dengan pendapatnya.

Timbulnya mazhab -mazhab itu apabila umat Islam tidak lagi berpengang kepada al Quran dan hadis pada masa itu. Maka tampil Imam Hanafi ,Imam Maliki ,Imam Syafie ,dan Imam Hambali memimpin umat Islam. Keempat- empat mazhab besar itu semuanya berpegang pada akidah  Ahli Sunnah Waljamaah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Demi Allah yang jiwa Muhammad di tangannya akan berfikrah umatku sebanyak 73 fikrah.Hanya satu masuk syurga dan yang lainnya masuk neraka. Sahabat bertanya sipakah itu ya Rasulullah, baginda menjawab Ahli Sunnah Waljamaah".